Monday, 22 June 2015

Warkah untuk adinda

Bismillahirrahmanirrahim
(dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang).

Assalamualaikum warahmatulallahi wabarakatuh.

Kehadapan adinda Akim yang Kak Angah sayangi dan kasihi selalu.

Alhamdulillah, Akim akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini 2015. Peperiksaan yang insyaalah akan menjadi titik penentu perjalanan masa depan Akim. Kak Angah harap Akim berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita dan impian Akim. Kejarlah impian Akim walau sejauh mana pun, gapailah ia walau setinggi apa pun.

Akim, hormatilah dan sayangilah kedua ibubapa kerana meraka sanggup berkorban nyawa, harta dan tenaga untuk anak-anak mereka. Hormatilah orang yang lebih tua dan kasihilah meraka yang lebih muda. Berbuat baik sesama sahabat, kasihilah meraka kerana doa seorang sahabat untuk sahabatnya yang lain akan didengar oleh Allah dan di amin kan oleh para malaikat.

Akim, warkah ini tak akan terhasil tanpa selaut rasa kasih sayang dan keinginan untuk melihat Akim berjaya di dunia dan di akhirat. Berusahalah tanpa jemu. Kutiplah setiap mutiara ilmu dari guru-guru di sekolah. Hormatilah mereka. Kasihilah meraka kerana meraka jua tanpa jemu berkorban masa dan tenaga untuk melihat anak-anak didiknya berjaya. Ketahuilah Akim, guru yang baik akan sentiasa beri yang terbaik kepada anak didiknya. Guru yang baik juga ingin melihat anak didiknya lebih pintar darinya dan anak didik yang baik haruslah mengakui kepintaran gurunya.

Akim yang Kak Angah sayangi selalu.

Ilmu itu sifatnya nur (cahaya). Cahaya tidak akan dapat memasuki ke dalam hati yang penuh dosa. Mohonlah ampun dan maaf dengan sesiapa saja yang pernah Akim sakiti hatinya. Jangan sesekali rasa malu dan ego, kerana rasa malu dan ego untuk berbuat baik adalah kesalahan yang besar dan akan membawa kepada penyesalan kelak.

Akim, impian dan cita-cita Akim adalah hak Akim seratus-peratus. Akimlah yang akan bertanggungjawab ke atas impian Akim sendiri. Nobody else. Bonda dan ayahanda hanyalah sebagai pendorong dan pemberi jalan sahaja. Kak Angah dan adik-beradik yang lain tidak mampu untuk merubah apa-apa. Akim lah yang akan menentukan sama ada impian Akim berjaya atau tidak. Ketahuilah bahawa cabaran bukan lah penghalang yang sebenar-benarnya tetapi cabaran adalah pemangkin dan penguat untuk Akim lebih berusaha dan lebih berjaya. Insyaallah.

Akim yang disayangi,

Impian Kak Angah, ayahanda dan bonda ingin melihat Akim berjaya. Berusahalah untuk menggapainya.

Jika peperiksaan SPM itu mudah bagi Akim, buktikan lah kepada kami semua yang Akim mampu mendapat straight A+. Insyaallah, Kak Angah tak rasa itu adalah sesuatu yang mustahil. Akim bijak cuma perlu rajin dan baiki sedikit cara belajar. Insyaalah :’)

Akim yang di kasihi,

Jika dulu masa Abechik sambung belajar di Mesir, Kak Angah tak sempat pun untuk hantar Abechik ke airport. Kak Angah betul-betul harap kali ni Kak Angah dapat hantar Akim untuk sambung belajar di Maroko pula. Insyaallah.

Akim, berjanjilah untuk berusaha sehabis baik. Berjaya atau tidak itu bukan kita yang tentukan. Kalau berjaya biarlah dengan usaha gigih kita sendiri. Sekiranya gagal biarlah gagal dengan bermaruah iaitu gagal setelah berusaha bersungguh-sungguh. Gagal setelah berusaha bersungguh-sungguh adalah sesuatu yang membahagiakan berbanding dengan gagal dengan usaha yang sedikit. Gagal dengan usaha yang  sedikit adalah gagal yang akan mengundang penyesalan seumur hidup.
Sekian, wassalam.

Salam kasih dan sayang dari,
-Kak Angah-
18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadhan  1436
02:01pm Kelantan darulnaim.

May everyone always have smile on their face. =)

No comments:

Post a Comment